Saturday, May 13, 2017

Mesyuarat AJK Gabungan Perkon Malaysia

Mesyuarat AJK Gabungan Perkon Malaysia akan diadakan pada jam 11pg, 20 hb Mei 2017 (Hari Sabtu), bertempat di PT 9912, Jalan 1/3G, Putra Point Fasa 2, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Kehadiran adalah di hargai.

Wednesday, May 3, 2017

Ozon Terapi

KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

TINDAKAN TEGAS KEMENTERIAN KESIHATAN TERHADAP ISU TERAPI OZON

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa semua bentuk terapi ozon yang melibatkan penggunaan mesin terapi ozon, suntikan ke dalam saluran darah seseorang individu dan darah tersebut diproses menggunakan mesin tersebut, adalah termasuk dalam lingkupan rawatan perubatan. Oleh yang demikian, amalan tersebut perlu mematuhi semua aspek undang-undang perubatan sedia ada dan tindakan boleh diambil ke atas pihak-pihak yang gagal mematuhi ketetapan tersebut. KKM mendapati terapi ozon ini adalah disediakan di pelbagai jenis premis perniagaan termasuk klinik, salun kecantikan dan ianya dikendalikan oleh profesional jagaan kesihatan dan orang yang tidak berkelayakan.

Penilaian Teknologi Kesihatan yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit. Malah, terapi tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko pendarahan daripada penggunaan heparin, embolism (penyekatan salur darah oleh gelembung udara), jangkitan kuman akibat peralatan yang tidak steril dan kehilangan upaya yang kekal berpunca daripada kegagalan organ seperti buah pinggang.

KKM ingin menegaskan semula bahawa terapi ozon merupakan rawatan yang tidak diiktiraf dan boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuklah kematian. Maka, KKM mengambil serius perkara ini dan pengawalseliaan terapi ozon ini perlulah mengikut ketetapan perundangan perubatan sedia ada, seperti berikut:

• Selaras dengan ketetapan Seksyen 2 dan 5, Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737],  mesin terapi ozon ditafsirkan sebagai suatu peranti perubatan yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority (MDA)). Mana-mana establismen, pembuat, pengimport atau pengedar mesin terapi ozon yang mengimport, mengeksport atau meletakkan dalam pasaran apa-apa mesin terapi ozon perlu memohon lesen establismen dan pendaftaran peranti di bawah Akta 737 dengan MDA, ataupun menarik semula pengedaran/penggunaan mesin tersebut dari pasaran, selewat-lewatnya 1 Julai 2017.

• Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut atau mereka yang melanggar peraturan ini boleh menyebabkan tindakan perundangan diambil,  iaitu apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

• Penggunaan produk heparin bagi rawatan terapi ozon adalah tertakluk kepada Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).

• Bagi kemudahan jagaan kesihatan swasta yang berlesen atau berdaftar bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menyediakan rawatan terapi ozon, tindakan perundangan bawah Akta 586 boleh diambil.

• Penggunaan injection needles dan injection syringes untuk IV heparin tertakluk kepada ketetapan Medical (Instruments) (Exemption) Regulation 1986, di mana radas tersebut hanya boleh digunakan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pembantu perubatan berdaftar. Oleh itu, tindakan undang-undang boleh diambil kepada premis yang tidak berdaftar atau tidak berlesen dan menyediakan terapi ozon sekiranya terdapat bukti penggunaan injection needles dan injection syringes di premis berkenaan.

• Aduan terhadap pengamal perubatan berdaftar yang menyediakan perkhidmatan terapi ozon boleh dikemukakan kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya (telefon: 03-26912171, faks: 03-26912937 / 03-26938569, email: admin.mmc@moh.gov.my, http://www.mmc.gov.my/index.php/making-a-complaint).

KKM ingin menekankan sekali lagi bahawa terapi ozon bukan sahaja tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan, malah rawatan tersebut boleh membahayakan nyawa pengguna. Kerjasama antara agensi penguatkuasa bawah KKM akan diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan dan kualiti jagaan kesihatan untuk rakyat sentiasa dipertingkatkan dan dijaga.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

3 Mei 2017

Tuesday, May 2, 2017

Socso

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengakui sebahagian besar pencarumnya tidak mengetahui hak mereka.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Zainal Ismail berkata, pencarum turut layak menerima pencen meskipun sudah berhenti kerja.

“Andai kata seorang pekerja itu sudah berhenti atau bekerja sendiri tapi masih berumur di bawah 60 tahun jika mereka sakit, kemalangan hingga hilang anggota badan, mereka layak menerima skim pencen ilat walaupun dia tidak mencarum lama,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, Perkeso turut membantu dari segi kos perubatan seperti dialisis dan bantuan peralatan pemulihan.

“Jadi, mana-mana pekerja yang ada kematian, sakit yang teruk, kemalangan atau apa-apa jenis penyakit yang membuatkan dia tidak boleh bekerja, boleh hubungi kami dan kami akan semak untuk lihat kelayakan bagi skim pencen ilat.

“Untuk kematian, memang kita akan bagi pencen tapi kalau lumpuh, kita bukan setakat bagi pencen malah juga beri alat bantuan seperti kerusi roda, tongkat atau kalau perlukan dialisis.

"Kita cuba bantu supaya keluarganya tidak terbeban dan dia pun boleh hidup selesa hingga akhir hayatnya,” katanya.

Katanya, pencen skim ilat boleh diwarisi meskipun pencarumnya sudah meninggal dunia ketika berusia 100 tahun.

“Sekiranya penerimanya meninggal walaupun ketika itu dia berusia 100 tahun, pencen itu boleh diwarisi oleh warisnya. Ramai orang tak tahu tentang perkara ini.

“Ini bentuk kebajikan yang kami pulang balik kepada pencarum.

"Kita mahu menjaga kebajikan pekerja dan orang yang ditanggungnya,” katanya.

Kongsi berita ini
-bermanfaat bg mereka yg layak dan memerlukan..
-boleh sampaikan kpd keluarga,saudara & sahabat2 tdekat..